Penjenamaan Baharu NaKie, Juara Lagu Cinta Kita Musim Pertama Kembali Bersama Single Pulang
KUALA LUMPUR – Pernah memperkenalkan debut Semua Itu Dusta untuk menyapa warga industri muzik tanah air menggunakan nama pentas Naqi Nasri, kini individu sama kembali dengan jenama dan imej baharu.
Mahu dikenali sebagai NaKie, pemuda kelahiran Batu Pahat, Johor itu memberitahu, tujuannya membuat penjenamaan semula kerana dia mahu tonjolkan sesuatu yang lebih segar.
“Apabila bergelar artis rakaman, saya muncul dengan single pertama berentak balada kerana mahu mengikut aliran muzik semasa ketika itu.
“Kini selepas tujuh tahun, di bawah label baharu iaitu MAP Music, saya mempertaruhkan sebuah karya pop moden yang disuntik elemen electronic dance music (EDM) menerusi lagu Pulang,” ujar NaKie.
Mencari kelainan dan cuba untuk menepati piawaian industri, NaKie berusaha mengekspresikan Pulang yang digubah oleh Mim Hamzah bersama Sternistic Mike, manakala lirik Mim bekerjasama pula dengan L Lewis.
Karya moden itu juga disuntik alunan alat muzik dimainkan oleh pemuzik profesional iaitu Helmi Shahuddin (Emy Pakok), susunan muzik daripada Wan Saleh dan Sternistic Mike berperanan selaku penerbit.
Sementara itu menurut NaKie, dia mengetengahkan konsep rugged streetwear menerusi video muzik Pulang dan berasa yakin ia mampu menjanjikan kepuasan optimum buat penggemar muzik tempatan.
NaKie atau nama penuhnya Mohd Naqiuddin Mohd Nasri, 25, berkata, dia amat berterima kasih kepada semua pihak yang terlibat dalam pembikinan single berkenaan, khususnya penerbit.
Selain menyanyi, NaKie yang kini bergerak di bawah syarikat pengurusan Shoreline Resources itu menjelaskan, dia juga sudah berjinak-jinak dalam bidang lakonan dan sentiasa mengintai peluang terbaik demi memajukan karier seninya. – THE VOKAL