Pengemis OKU Pakai Proton X70 Premium – JKM Batalkan Elaun
Helah seorang pengemis Orang Kelainan Upaya (OKU) melakukan aktiviti itu dengan meraih simpati hingga mampu memiliki Proton X70 Premium terbongkar.
Ekoran itu, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) memberhentikan bantuan elaun OKU kepadanya.
Timbalan Menterinya Datuk Seri Dr Noraini Ahmad berkata, selain elaun sebanyak RM450 dihentikan bermula bulan ini, pihaknya turut memberikan amaran dan meminta lelaki itu melengkapkan surat aku janji sebagai jaminan untuk tidak mengemis lagi.
Memetik laporan Bernama, beliau menjawab soalan tambahan Mohd Sany Hamzan (PH-Hulu Langat) yang ingin tahu tindakan KPWKM dan JKM terhadap seorang OKU yang menerima bantuan daripada JKM, namun melakukan aktiviti mengemis dan memiliki sebuah Proton X70 seperti yang tular di media sosial baru-baru ini.
Lelaki yang cacat pada kedua-dua tangannya itu dilaporkan memperoleh pendapatan hingga RM500 dalam tempoh lima jam hasil kutipan sumbangan orang ramai di pasar malam sebelum perbuatan itu berjaya dibongkar JKM Maran pada Februari lalu. – THE VOKAL