Nur Aqilah Juga Berhak Bahagia – Ditolak Pengurus Perkahwinan Hanya Kerana Saiz Badan
Betapa sesuatu hal yang menyedihkan, membaca perkongsian laporan ada perancang perkahwinan yang menolak pelanggan hanya kerana saiz badan.
Demikian realiti yang berlaku dalam laporan Harian Metro mengenai seorang wanita yang hampir putus asa apabila ramai perancang perkahwinan enggan membantunya menguruskan acara bermakna dalam hidup itu.
Haffsyah, 43, berkata, dia sudah mengurus kira-kira 3,000 majlis perkahwinan sebelum ini namun bersyukur kerana menimba pengalaman yang cukup berharga apabila berpeluang untuk mengurus majlis perkahwinan pengantin perempuan yang memiliki berat lebih 200 kilogram.
Pemilik butik andaman Flora Bridal House di Bandar Baru Uda itu yang mesra dengan panggilan Kak Ila berkata, dia antara 50 perancang perkahwinan yang menyertai pameran pengantin di Plaza Angsana pada September tahun lalu sebelum terserempak dengan seorang wanita yang memiliki fizikal agak besar di tepi gerai pameran.
Menurutnya, apabila disapa, wanita itu menyatakan dia masih gagal menempah perkhidmatan perancang perkahwinan walaupun sudah berkunjung ke pameran itu berulang-kali dan berasa agak rendah diri dengan keadaan fizikalnya itu.
Katanya, walaupun menyedari keperluan wanita itu adalah berbeza berbanding pengantin yang memiliki susuk badan normal, dia sanggup memikul cabaran berkenaan kerana tidak sanggup menghampakan impian bakal pengantin itu.
Pengantin berkenaan adalah Nur Aqilah Erman dan Muhammad Afiq Jusoh.
Kongsinya, dia juga bersyukur kerana mendapat kepercayaan pasangan pengantin bagi menawarkan khidmat katering bagi 500 jemputan.
Haffsyah berkata, dia juga bersyukur kerana dapat menaja kad perkahwinan, kek, lukisan inai dan gubahan hantaran percuma ketika hari bersejarah pengantin itu.
“Mungkin fizikalnya berbeza namun dia seorang yang lembut, ceria dan disambut baik oleh keluarga mentua.
Paparan kisah berkaitan pengalaman perancang perkahwinan mengurus majlis pasangan itu menerusi Facebook (FB) semalam, menerima lebih 17,000 reaksi daripada netizen. – THE VOKAL