Nora Cerai Talak Satu – Kongsi Suami Lafaz Talak Satu Dalam Video
Pernikahan kali kedua pada 2021 akhirnya terlerai apabila penyanyi Datuk Nora Ariffin hari ini berkongsi dia diceraikan dengan talak satu oleh suaminya, Dr Rushdi Ramli.
Lafaz cerai itu dibuat Rushdi menerusi rakaman video dikongsi penyanyi lagu Dend Dalam Diam itu di akaun Instagram miliknya.
“Saya yang bernama Rushdi Ramli, dengan ini menceraikan dan mentalakkan isteri saya, Wan Norafiza Ariffin dengan talak satu kerana Allah,” lafaznya.
Perkongsian itu mendapat lebih 2,000 tanda suka namun ruangan komen ditutup.
Terdahulu, spekulasi mengatakan rumah tangga penyanyi itu dengan Pensyarah Kanan, Jabatan Figh & Usul, Universiti Malaya itu goyah sudah bertebaran sejak tahun lalu, namun Nora menyangkalnya.
Nora berkata, dia masih bergelar isteri kepada Rushdi dan hubungan mereka masih dalam keadaan baik.
Penyanyi kelahiran Kelantan itu mendirikan rumah tangga dengan Rushdi dalam satu majlis pada 2021. Tidak menjelaskan secara terperinci butiran majlis perkahwinannya, Nora memaklumkan bertemu jodoh dengan sahabat baik arwah suaminya, Johan Nawawi.
Sebelum itu, Nora mendirikan rumah tangga dengan Johan pada 1992 dan dikurniakan empat cahaya mata. Namun, Johan meninggal dunia pada 24 Mac 2017 pada usia 52 tahun akibat serangan jantung. – THE VOKAL