Namie Hargai Joey Daud, Iera Milpan Kagum Ziana Zain
Dua artis Rusa Music MVM iaitu Namie dan Iera Milpan mengakui enggan leka dengan populariti sebaliknya mahu mengukuhkan kedudukan mereka dalam industri.
Namie yang semakin dikenali berkata, dia bersyukur kerana laluan dalam menempa nama dipermudah dan diterima baik kebanyakkan senior dalam bidang lawak.
Malah akui bekas guru ini, Joey Daud menjadi insan yang memberi galakan dan melihat bakat pada dirinya.
Iera pula berkata, dia sendiri tidak menyangka lagu Retak Hatiku menjadi tular sehingga mencecah lebih 18 juta tontonan.
“Saya memang suka dengar lagu jiwang dan leman ni sejak dari kecil, kalau nyanyi pun memang lagu begini.
“Saya selesa dan tak kisah kalau ada yang anggap lagu macam ini lagu kampung, sebab bagi saya ia kena dengan jiwa saya,” kata gadis berasal dari Johor ini.
Dia juga mengakui diva Ziana Zain menjadi penyanyi idola yang sangat dikagumi serta rujukan buat dirinya.
“Saya memang minat kak Ziana sebab dia lain dari lain serta terbukti berkualiti dan bertahan hingga ke hari ini,” katanya.
Iera sebelum ini pernah tular apabila lagu cover nyanyiannya Balasan Janji Palsumu mendapat lebih 26 juta tontonan di platform YouTube.
Selain kedua-dua mereka ditemui pada sesi bersama media yang diadakan baru-baru ini, tiga lagi bakat baharu turut diperkenalkan iaitu Qistina Khaled, Alfie Zumi dan Zel. – THE VOKAL