Nama Siti Nurhaliza Dicadang Sebagai Biduanita Negara – Sedang Dalam Perbincangan Dalaman
Nama penyanyi nombor satu negara Datuk Seri Siti Nurhaliza sudah dibawa dalam perbincangan untuk diberi gelaran Biduanita Negara.
Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil mengesahkan perkara itu, namun berkata proses itu mungkin memakan masa untuk diteliti.
Fahmi berkata demikian ketika ditemui pada majlis berbuka puasa bersama pengamal media di sebuah hotel di Kuala Lumpur malam tadi.
Sebelum ini, kejayaan Siti Nurhaliza ketika menganjurkan konsert Sebuah Epitome: Saya Siti Nurhaliza pada 9 Mac lalu mengundang perhatian ramai hingga ada yang menyarankan penyanyi itu diberikan gelaran tersebut.
Namun Siti Nurhaliza yang diminta mengulas perkara itu berkata, dia tidak terlalu berharap dengan gelaran berkenaan kerana karier nyanyian yang diceburi dilakukan atas dasar minat.
Bagaimanapun Fahmi berkata dia belum boleh mengulas perkara itu secara terperinci kerana ia masih dalam proses perbincangan.
Setakat ini, hanya dua penyanyi yang pernah mendapat gelaran Biduanita Negara iaitu Datuk Sharifah Aini dan Allahyarhamah Puan Sri Saloma. – THE VOKAL