Minta Pulangkan RM500,000 – Armani Entertainment Saman Michael Ang
Armani Entertainment mengheret penerbit dan pengarah terkenal Michael Ang ke mahkamah serta menuntut dia memulangkan semua wang berjumlah RM500,000.
Ketua Pegawai Eksekutifnya Datuk KK Chua berkata tindakan itu ekoran Michael gagal memenuhi janji yang dibuat dalam satu perjanjian strategik yang ditanda tangani pada 1 Oktober 2021.
Kes berkenaan dijadualkan disebut pada 5 Ogos depan di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur.
Chua mendakwa antara janji yang dibuat selebriti itu ialah memberi peluang lakonan kepada bakat di bawah Armani Entertainment serta menggunakan lagu penyanyi syarikat itu untuk runut bunyi drama arahan Michael.
“Kita juga sebenarnya sudah beri peluang kedua menerusi Supplementary Agreement pada 2022 namun Michael masih gagal memenuhi janji dan komitmen yang dibuat.
“Ini juga satu pengajaran buat kami sebagai pemain baru dalam industri ini dan berharap pihak lain agar lebih berhati-hati.
“Tetapi dia hanya menyelesaikan tiga perkara dalam kontrak seperti yang dijanjikan iaitu OST untuk drama Janji Anaqi dan menggunakan dua orang artis naungan kami bagi watak pembantu selain juri pencarian bakat untuk syarikat,” katanya dalam sidang media di pejabat syarikat itu di Kota Damansara hari ini.
Sidang media tersebut turut disertai dua peguam Syed Ahmad Naqiuddin Syed Mohammad Rizal dan Lim Zi Hwei dari Tetuan Zi & Associates.
Sementara itu, Chua turut menegaskan dalam sidang media tersebut adalah empat fakta yang tidak boleh dipertikaikan.
“Untuk kesimpulannya, dua kontrak sudah ditandatangani oleh pihak Armani Entertainment dan Michael Ang.
“Selain itu, tanggungjawab Michael turut dengan jelas sudah tertera dalam kedua-dua kontrak.
“Dia hanya memenuhi satu OST, juri bagi pencarian bakat Armani Entertainment Group dan satu pelakon tambahan.
“Kita telah buat bayaran sebanyak RM500,000 kepada pihak Michael,” katanya. – THE VOKAL