
Mayat Bayi Bawah Kereta – Dijumpai Dibungkus Kain
Mayat bayi perempuan dipercayai baru dilahirkan ditemukan dalam bungkusan kain di bawah kereta Proton Iswara di tempat letak kenderaan Apartmen Putra Ria, Pantai Dalam, di sini, hari ini.
Saksi kejadian, Latiff Jaafar, 65, berkata, dia menemukan mayat bayi berkenaan ketika menyapu sampah di tempat letak kenderaan di apartmen berkenaan kira-kira 9 pagi tadi.
“Ketika menyapu sampah di lot parkir kosong di kawasan ini, saya terlihat satu bungkusan kain di bawah kereta berkenaan sebelum cuba menariknya keluar.
“Saya terperanjat apabila kain yang ditarik itu terdapat mayat bayi perempuan sebelum saya memaklumkan perkara terbabit dengan pihak pengurusan,” katanya.
Latiff berkata, pihak pengurusan kemudian menghubungi polis untuk tindakan lanjut.
“Pemeriksaan dilakukan polis terhadap bayi berkenaan mendapati dia dalam keadaan cukup sifat dan tidak ada bau busuk dihidu di lokasi penemuannya.
“Pemilik kereta Proton Iswara itu memaklumkan kenderaan itu sentiasa berada di lot parkir berkenaan memandangkan ia jarang bergerak.
“Sepanjang tempoh 28 tahun tinggal di sini, ini adalah kejadian kali pertama membabitkan penemuan mayat bayi,” katanya yang sudah lima tahun bekerja sebagai tukang cuci di apartmen berkenaan.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Asisten Komisioner Ku Mashariman Ku Mahmood ketika dihubungi mengesahkan pihaknya menerima laporan berhubung kejadian terbabit. – THE VOKAL