‘Master Mind’ Dadah Segi Tiga Emas Kantoi – Rakyat Malaysia Dikehendaki Ditahan
Dia perancang utama yang berperanan sebagai pemeroleh dan penyelaras dalam perdagangan dadah di kawasan Segi Tiga Emas, sejak 2006.
Lelaki yang juga pelarian warga Malaysia yang dikehendaki di Thailand kerana menyeludup dadah ditahan dalam operasi bersama Thai-Laos pada 29 Disember lalu.
Suspek yang digelar Raja Dadah Malaysia itu ditahan bersama rampasan anggaran nilai aset berjumlah 85 juta baht (kira-kira RM11 juta).
Menurut polis Thailand, warga Malaysia berusia 39 tahun itu, seorang yang didakwa pengedar dadah dan ahli penting sindiket dadah bersembunyi di Laos.
Penolong Ketua Polis Negara Leftenan Jeneral Panurat Lakboon berkata, Pejabat Lembaga Kawalan Narkotik (ONCB) menyiasat lelaki warga Malaysia itu, yang disyaki pengedar dadah yang memainkan peranan penting sebagai pemeroleh dan penyelaras dalam perdagangan dadah di kawasan Segi Tiga Emas, sejak 2006.
Panurat menambah, penyiasat mengenal pasti lelaki itu sebagai suspek utama di sebalik kes dadah besar pada Jun tahun lalu – rampasan 998 kilogram kristal methamphetamine dan penahanan tujuh suspek di wilayah Ratchaburi. Waran tangkap kemudiannya dikeluarkan untuknya pada Ogos tahun sama.
Kemudian, pihak berkuasa Thailand merampas aset lelaki Malaysia itu, termasuk sebidang tanah dengan bangunan, dua kondominium, tiga kapal layar, dua kereta, tiga motosikal, senjata api, wang tunai, dan barang berharga lain, di Bangkok, Trat, Chiang Rai dan Chon Buri. – THE VOKAL