Marissa Pulang – Netizen Puji Abby Dan Norman
Anak kepada pelakon Abby Abadi dan Norman Hakim yang mencetuskan kontroversi, dilihat kembali ke pangkuan keluarga.
Abby dan Norman dilihat berkongsi video mereka sekeluarga menghadiri promosi buffet Ramadan di sebuah hotel terkemuka di sini, malam tadi.
Abby dilihat mendakap Marissa sambil merakamkan video bersama anak keduanya itu manakala Norman pula dilihat menyuapkan makanan ke mulut anak perempuannya itu dengan penuh mesra.
Abby dalam video yang dikongsikan menulis kapsyen ringkas ‘Alhamdulillah’, tampak gembira dan dilihat mengucup pipi anaknya itu.
Marissa juga mengambil kesempatan mendakap dan mencium ibu serta turut memangku adik perempuannya dalam video berkenaan.
Bagaimanapun, kelibat suami Marissa iaitu Aslam tidak kelihatan dalam hantaran itu.
Netizen turut memuji Abby dan Norman sebagai ibu bapa hebat dan menjadi contoh yang baik kerana tetap menyayangi anak gadis mereka berusia 19 tahun itu biarpun berdepan ujian.
Tinjauan ke akaun Instagram Marissa pula mendapati pempengaruh yang turut bergelar model sambilan itu sudah kembali mengikuti akaun Instagram ibu dan bapanya.
Pada 7 Februari lalu, Marissa yang juga anak kedua daripada tiga beradik, mencetuskan kontroversi apabila dikatakan bernikah secara rahsia dengan lelaki berstatus suami orang dikenali sebagai Aslam, di Songkhla, Thailand. – THE VOKAL