Malam Tarawih Pertama – Selipar Jemaah Kena Kebas
Baru malam pertama, sudah ada yang buat hal mencemar bulan mulia Ramadan apabila selipar beberapa jemaah di sebuah masjid di bandar Dungun, Terengganu lesap dipercayai dicuri.
Mereka terpaksa berkaki ayam sebaik mahu pulang selepas menunaikan solat sunat terawih pertama malam tadi kerana selipar masing-masing dikebas orang.
Memetik laporan Kosmo! seorang mangsa, Khairi Ridzman, 24, mendakwa, dia menyedari seliparnya yang diletakkan di luar pintu masjid hilang setelah selesai menunaikan solat tarawih pada pukul 9.30 malam.
Dia yang menetap di Kampung Balai Besar di sini pada mulanya menyangka kanak-kanak bermain dan menyorokkan seliparnya ke tempat lain.
Terdahulu, Khairi memuat naik status di laman sebuah kumpulan Facebook yang mendapat pelbagai reaksi netizen termasuk yang turut berkongsi pengalaman sama kehilangan selipar.
Khairi kesal sikap individu tidak bertanggungjawab mencuri selipar di masjid seakan tidak menghormati kemuliaan ketibaan bulan Ramadan.
Begitupun, kes kecurian tersebut tidak mematahkan semangatnya untuk melipat ganda ibadah dengan mengunjungi masjid sepanjang bulan puasa ini. – THE VOKAL