LTU Raub Bypass Dibuka Tengah Malam Ini – Jimat 30 Minit
Pengguna jalan raya kini dapat menjimatkan masa perjalanan mereka menerusi pembukaan sebahagian jalan Seksyen 5A: Lingkaran Tengah Utama (LTU) Raub bypass sepanjang 6.4 kilometer (km).
Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata laluan terbabit yang mula dibuka pada pukul 12.01 tengah malam ini dapat menjimatkan masa kira-kira 30 minit berbanding dua jam yang diambil pengguna dari Bentong ke Raub.
Menurutnya, kerja-kerja pembinaan Seksyen 5A ini bermula pada 13 Jun 2019 dengan melibatkan kos berjumlah RM252.5 juta dan baki sepanjang 2.6 km dijadual disiapkan pada Jun 2024.
Beliau memberitahu panjang laluan Seksyen 5A: Raub ByPass adalah 9.6 km keseluruhannya dan dengan pembukaan 6.4 km pada hari ini termasuk 600 meter yang dibuka pada 24 Jun tahun lalu menjadikan jajaran yang telah dibuka kepada rakyat adalah tujuh kilometer.
Dalam pada itu, Alexander berkata kerajaan Persekutuan mempertimbangkan untuk membina Kawasan Rehat dan Rawat ( R&R) di laluan berkenaan bagi keselesaan pengguna. – THE VOKAL