Liverpool Tetap Berbisa – Cipta Kemenangan Tanpa Salah
Liverpool terus membuktikan mereka sebuah pasukan dalam kelas tersendiri meskipun ada yang membuat andaian dan spekulasi penguasaan mereka di takhta liga tidak mampu kekal.
Kedudukan The Reds di tangga pertama EPL ketika ini dikatakan tidak akan kekal lama selepas kehilangan tonggaknya, Mohamed Salah untuk tempoh lama kerana mewakili Mesir ke saingan Piala Negara-Negara Afrika (AFCON) bermula 13 Januari hingga 11 Februari depan.
Bagaimanapun, bekas juara Eropah itu membuktikan sebaliknya apabila menang biarpun turun tanpa kelibat Salah ketika menewaskan The Gunners di Stadium Emirates.
Dalam perlawanan awal pagi semalam, pasukan yang menjadi pilihan utama untuk menjuarai gelaran Liga Perdana Inggeris (EPL) musim ini menewaskan Arsenal 2-0 pada pusingan ketiga Piala FA.
Liverpool juga turun tanpa bek tengah berpengaruh, Virgil Van Dijk kerana masalah kesihatan selain Wataru Endo yang kini menyertai Jepun untuk saingan Piala Asia di Qatar bulan ini.
Pengurus Liverpool, Jurgen Klopp melahirkan rasa gembira kerana kemenangan itu membuktikan mereka berjaya melepas ujian pertama tanpa para pemain terbabit terutama dalam persaingan dengan Arsenal.