
Lebih 200 Individu – Polis Rekod Keterangan Kes Bunuh Zayn Rayyan
Hampir dua bulan kes pembunuhan kanak-kanak autisme Zayn Rayyan berlalu dan polis terus memburu suspek yang bertanggungjawab.
Sehingga kini juga, polis sudah mengambil lebih 200 keterangan individu berhubung kes pembunuhan yang menggemparkan seluruh negara itu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd. Shuhaily Mohd. Zain berkata, ini merupakan daripada proses siasatan di dua buah blok Apartmen Idaman, Damansara Damai.
Katanya, pihaknya masih menilai bahan bukti yang dikumpul berhubung kes tersebut.
“Macam saya cakap tempoh hari, kita tidak pernah berhenti menyiasat dan masih di lapangan dan berjumpa dengan masyarakat setempat sama ada mereka ada tertinggal sebarang maklumat , sekecil mana pun.

“Lebih 200 orang kita panggil berikan keterangan daripada awal-awal kita sudah scan dua-dua blok, jadi memang ramai,” katanya.
Pada 6 Disember lalu, Zayn Rayyan yang dilapor hilang ditemui meninggal dunia di kawasan sungai berhampiran kediamannya pada pukul 10 malam.
Susulan itu, hasil penemuan bedah siasat pihak polis membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 302 (bunuh) selepas menemui kesan kecederaan mempertahankan diri dan kecederaan pada bahagian leher mangsa. – THE VOKAL