Kronologi Insiden Tembakan Maut – Sepasang Penuntut IPT Hadir Lapor Kes Cabul
Siasatan insiden serangan ke atas Balai Polis Ulu Tiram, awal pagi tadi yang mengorbankan dua anggota polis dan suspek mati ditembak, turut membabitkan dua pelajar institusi pengajian tinggi (IPT).
Memetik laporan Harian Metro, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain, memaklumkan pelajar lelaki berusia 22 tahun dan pelajar perempuan berumur 21 tahun itu ditahan kerana dipercayai ada kaitan dengan serangan terbabit.
2.30 pagi: Dua pelajar IPT, lelaki dan perempuan hadir ke balai untuk membuat laporan polis mengenai kes cabul yang sudah berlaku dua tahun lalu.
2.35 pagi: Ketika dua pelajar berkenaan sedang membuat laporan polis, suspek masuk ke kawasan balai dengan motosikal dan terus ke bahagian belakang balai.
Seorang anggota polis pergi ke bahagian belakang balai untuk memeriksa, tetapi diserang dan ditetak mati oleh suspek. Suspek kemudian merampas senjata api anggota berkenaan.
Dua anggota polis dimaklumkan mengenai serangan itu bergerak ke belakang balai untuk memeriksa dan berlaku tembak menembak dengan suspek.
2.54 pagi: Seorang daripada anggota polis berkenaan maut terkena tembakan pada bahagian pipi yang tembus kepala. Seorang lagi anggota berjaya menembak mati suspek.
Sehubungan itu, Razarudin berkata, dua pelajar itu ditahan bagi siasatan lanjut pembabitan mereka dengan serangan itu.