KPDN Keluar Notis – Ayam Goreng Kunyit Kayangan
Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) mengeluarkan satu Notis Pengesahan Maklumat Barangan (NPMB) terhadap seorang peniaga makanan yang didakwa menjual ayam goreng kunyit pada harga RM20 sepinggan di premisnya di Pantai Chenang, Langkawi.
Pengarah KPDN Kedah Affendi Rajini Kanth berkata notis tersebut dikeluarkan di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011, pada hari ini dan peniaga terbabit perlu mengemukakan maklumat berhubung penyediaan hidangan makanan itu dalam masa dua hari bekerja.
Beliau berkata, pengguna perlu sentiasa menyemak harga dan Akta Pelindungan Pengguna 1999 memberikan hak kepada pengguna untuk mendapatkan maklumat berhubung sesuatu barangan termasuk hidangan makanan sebelum membuat pesanan.
Sebelum ini, seorang pelanggan membuat hantaran di Facebook melahirkan rasa tidak puas hati apabila dikenakan caj RM20 untuk sepinggan hidangan ayam goreng kunyit. – THE VOKAL