KKM Tidak Bercadang Laksana Semula PKP Ekoran Lonjakan Kes COVID-19
Tiada cadangan untuk melaksanakan semula Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) atau sekatan lain ketika ini ekoran lonjakan kes COVID-19, kata Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.
Katanya, walaupun berlaku peningkatan mendadak kes namun keadaan semasa pandemik COVID-19 di Malaysia masih terkawal dan tidak membebankan fasiliti kesihatan.
Kredit Gambar: FB Live Kementerian Kesihatan
Tambah Dr Dzulkefly, fasiliti kesihatan ketika ini juga sentiasa bersedia untuk menghadapi sebarang kebarangkalian berhubung peningkatan kes COVID-19.
Kredit Gambar: Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO)
Sidang media khas itu turut disiarkan secara langsung menerusi laman Facebook Kementerian Kesihatan (KKM).
Status terkini kes COVID-19 di Malaysia pada 10 hingga 16 Disember lepas merekodkan 20,696 kes baharu iaitu meningkat 62.2 peratus daripada minggu sebelumnya dengan 20,777 adalah kategori 1 dan 2 (ringan) manakala 619 pula kategori 3 hingga 5.
Sebanyak 28 kematian pula direkodkan untuk tempoh sama.
Kredit Gambar: Facebook Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad
Justeru kata Dr Dzulkefly, KKM melaksanakan lima strategi utama di bawah Pelan Pengurusan COVID-19 bagi menghadapi lonjakan kes ketika ini iaitu:
1. Pengesanan Awal Kes COVID-19 dan Varian SARS-CoV-2
2. Pemerkasaan Komuniti Melalui Amalan TRIIS (Test, Report, Isolate, Inform and Seek)
3. Pemantauan Fasiliti Kesihatan, Pengurusan dan Kawalan Kes COVID-19 terutama untuk melindungi Golongan Berisiko Tinggi
4. Pemerkasaan Komuniti melalui Komunikasi Risiko Yang Berkesan
5. Pendigitalan Sistem Kesihatan Dalam Pengurusan Pandemik Melalui Aplikasi MySejahtera
Mengulas mengenai vaksin COVID-19 pula, Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Muhammad Radzi Abu Hassan berkata stok masih mencukupi setakat ini untuk mana-mana pihak khususnya golongan berisiko tinggi yang ingin mendapatkan dos penggalak.
Kredit Gambar: Facebook Datuk Dr Muhammad Radzi Abu Hassan