Ketua Polis KL Baharu – Datuk Rusdi Mohd Isa
Datuk Rusdi Mohd Isa dilantik sebagai Ketua Polis Kuala Lumpur yang baharu berkuat kuasa hari ini bagi menggantikan Datuk Allaudeen Abdul Majid yang bakal bersara wajib pada 1 April.
Allaudeen yang sudah berkhidmat sebagai pegawai polis selama 39 tahun memulakan karier sebagai pelatih Inspektor di Pusat Latihan Polis (Pulapol) Kuala Lumpur pada 1 Julai 1985.
Sebagai anak jati Kuala Lumpur, beliau teruja dan bersyukur kerana dapat menamatkan karier dengan berbakti sebagai Ketua Polis di sini sejak 14 Ogos 2022.
Majlis itu dimulakan dengan upacara penyerahan watikah pelantikan dan pemakaian pangkat kepada Ketua Polis Kuala Lumpur yang baharu oleh Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain.
Majlis kemudian diteruskan dengan upacara menandatangani dan pertukaran dokumen serah terima tugas di antara Allaudeen dan Rusdi serta penyerahan tongkat kuasa.
Antara jawatan penting yang pernah disandang Rusdi termasuk Timbalan Pengarah Siasatan/Perundangan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, dan Timbalan Ketua Polis Pulau Pinang. – THE VOKAL