Kes Zayn Rayyan : Datuk Dan Nenek Ditahan
Episod kes pembunuhan kanak-kanak austime, Zayn Rayyan Abdul Matiin semakin mendebarkan apabila Datuk dan nenek mangsa ditahan polis petang ini.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, pasangan itu ditahan jam 2.30 petang tadi.
Menurutnya, penahanan mereka bagi membantu siasatan pembunuhan Zayn dan ditahan anggota D9 Ibu Pejabat Polis Selangor.
Terdahulu media melaporkan, Ibu Zayn Rayyan Abdul Matiin hanya memberi keterangan dan tidak membuat sebarang pengakuan di Mahkamah Majistret di sini, hari ini.
Peguam mewakili ibu kanak-kanak itu, Mahmud Jumaat berkata, prosiding hari ini adalah permohonan polis untuk merekod pengakuan bersalah Orang Yang Disyaki (OYDS) mengikut Seksyen 26(1) Akta Keterangan.
Bagaimanapun, perkara itu dibantah kedua-dua peguam yang mewakili pasangan suami isteri itu.
Beliau berkata, anak guam juga tidak membuat sebarang pengakuan dan perkara itu direkodkan Majistret Zhafran Rahim Hamzah.
Ibu bapa Zayn pula kini masih dalam tahanan reman yang akan tamat esok.
Keputusan sama ada mereka dituduh atau bebas dijangka ditentukan esok. – THE VOKAL