“Kera Di Hutan Disusukan…” – Gaji Pemain Bola Tempatan Tertunggak
Kera di hutan disusukan, anak di rumah mati tak makan. Demikian ibaratnya isu gaji pemain bola tempatan yang tertunggak sedangkan pemain import dibayar tanpa masalah.
Kemelut itu didedahkan dalam satu laporan Harian Metro yang mendakwa isu ini semakin membelenggu pemain tempatan.
Demikian keluhan sumber yang juga salah seorang barisan skuad Kelantan United musim ini yang mengakui terkilan dengan pengurusan kelab itu.
Jelas sumber, rata-rata pemain tempatan seolah dianaktirikan apabila hampir lima bulan tidak dibayar gaji, sedangkan tonggak import pula mendapat layanan berbeza apabila tunggakan diselesaikan oleh pengurusan.
Katanya, ia bagi mengelak pemain import melaporkan isu terbabit kepada FIFA namun tonggak tempatan pula dibiarkan tanpa sebarang usaha untuk menyelesaikan tunggakan.
Sementara itu, salah seorang pengurusan pasukan Kelantan United yang dihubungi mengesahkan berlakunya tunggakan dan menegaskan pihaknya akan segera mencari jalan penyelesaian.
Sebelum ini, Kelantan United antara 13 kelab yang berjaya meraih Lesen Kebangsaan untuk bersaing dalam saingan Liga Super musim depan selepas berjaya melepasi syarat pelesenan termasuk tiadanya tunggakan gaji.
Selain skuad Sang Kijang Hijau, difahamkan Kuala Lumpur City FC juga sedang berdepan isu tunggakan gaji sekali gus menimbulkan persoalan tentang status pelesenan yang sudah diberikan sebelum ini oleh badan bebas First Instance Body (FIB) dan Liga Bolasepak Malaysia (MFL). – THE VOKAL