Kem Sukan Terjun Kandas – Padam Impian Ke Olimpik Paris 2024
Kem sukan terjun negara tidak layak beraksi di Sukan Olimpik Paris 2024 apabila kesemua atlet yang membawa perjuangan Malaysia kandas.
Harapan negara menerusi Nur Dhabitah Sabri juga gagal membawa misi melayakkan diri ke temasya sukan bertaraf dunia itu
Nur Dhabitah gagal melangkah ke pentas final acara 3 meter (m) papan anjal individu wanita di Kejohanan Akuatik Dunia di Doha, Qatar, hari ini selepas sekadar menamatkan saingan di kedudukan ke-24 dengan mengumpul 238.15 mata secara keseluruhan.
Dia ketinggalan 7.95 mata di belakang penerjun Sepanyol, Maria Papworth Burrel yang berada di kedudukan ke-18 dengan mengumpul 246.10 mata.
Hanya 18 penerjun terbaik akan beraksi pada saingan separuh akhir diikuti 12 terbaik di final pada hari sama, esok.
Mengiringi kegagalan itu, rakan senegara Wendy Ng Yan Yee yang menamatkan saingan kelayakan di kedudukan ke-36 dengan mengumpul 216.00 mata secara keseluruhan.
Selasa lalu, Nur Dhabitah dan gandingannya, Datuk Pandelela Rinong terlepas tiket untuk ke Paris 2024 apabila hanya menamatkan saingan acara 10m platform seirama di kedudukan ke-12.
Beliau yang kemudian bergandingan dengan Wendy turut terlepas slot ke temasya paling berprestij di dunia itu apabila hanya menduduki tempat kesembilan dalam saingan 3m papan anjal seirama wanita. – THE VOKAL