Kali Pertama Ke ABPBH, Peminat Doakan Bell Ngasri Rangkul Anugerah Bintang Paling Popular
KUALA LUMPUR – Pencalonan Bell Ngasri mula mendapat perhatian warganet memandangkan dia ‘selebriti senior’ yang tidak pernah memenangi mana-mana anugerah sepanjang penglibatannya dalam dunia seni.
Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) merupakan anugerah berprestij yang sering kali ditunggu oleh setiap peminat.
Anugerah yang mula diperkenalkan pada tahun 1987 ini adalah berdasarkan kepada undian peminat yang mengiktiraf penggiat seni tanah air.
Malah, artis yang tercalon dalam setiap kategori adalah merupakan hasil usaha keras peminat yang mengundi.
Buat peminat setia, mereka pastinya akan menggembleng tenaga untuk memastikan artis kesayangan memenangi kategori dalam anugerah ini.
Siapa sangka, setelah tiga dekad berkecimpung dalam dunia seni, Bell atau nama sebenarnya Nasrizal Ngasri berjaya menempatkan diri sebagai lima calon pemenang bagi anugerah Artis Komedi Popular, ABPBH yang ke-35.
Pencalonan Bell mula mendapat perhatian warganet apabila dia dikatakan tidak pernah memenangi mana-mana anugerah sepanjang penglibatannya dalam dunia seni.
Menerusi Facebook, beberapa pengguna menzahirkan harapan mahu melihat Bell Ngasri meraih kemenangan bagi kategori Artis Komedi Popular.
Jelas Zack Rahim, dia seorang pelakon versatil kerana mampu membawa watak antagonis (jahat), protagonis (watak teraju) selain watak tritagonis (watak ketiga yang jujur dan kelakar) dengan baik.
Selain Zack Rahim, seorang penulis, Siti Suryani Yaakop turut meletakkan harapan agar Bell Ngasri memperoleh kemenangan kerana menurutnya Bell mampu membawa apa sahaja watak yang diberikan kepadanya.
Turut meletak harapan untuk menang, menerusi akaun instagram miliknya, Bell sempat berkempen dan meminta peminat untuk mengundi dia di anugerah tersebut.
Malah, menerusi hantaran video tersebut, kelihatan Bell berkali-kali mengingatkan peminat agar mengundinya supaya dia dapat memperolehi kemenangan di anugerah berprestij itu.
“Bukan sebagai Menteri, tapi di ABP ye. Gunakan handphone itu untuk mengundi abang ye,” katanya lagi.
Terdahulu, pencalonan Bell Ngasri dalam bagi kategori Artis Komedi Popular bersama-sama Johan, Zizan, Syahmi Sazli dan Jaa Suzuran telah mengundang perhatian warganet.
Ini kerana dia dikatakan tidak pernah memenangi sebarang anugerah walaupun telah berkecimpung dalam dunia seni hampir tiga dekad.
Nama Bell mula menjadi bualan sejak akhir-akhir ini apabila menjayakan watak sebagai Barkoba, seorang lelaki yang malas puasa dalam telemovie 16 Puasa, 17 Puasa dan 19 Puasa arahan Allahyarham Mamat Khalid.
Melalui telemovie itu juga, ayat tagline ‘Yak Yak Yeay’ menjadi sinonim dengan Bell sehingga ke hari ini. – THE VOKAL