Justifikasi 27 Tahun Liza Hanim – Sebuah Perjuangan Seni Dengan Bakat Yang Dimiliki
Nama Liza Hanim selayaknya berada dalam senarai penyanyi terbaik di negara ini dan pada kategori kelas A.
Liza memacu kerjaya seninya dengan kemas dan bebas dari gosip liar. Pemilik nama Haliza Hanim Abdul Halim ini bukanlah artis yang dahagakan perhatian serta kontroversi atas nama populariti.
Satu yang digenggam kemas anak kelahiran Klang ini ialah, bakat sebagai senjata membina namanya dalam koordinat industri hiburan tanah air.
Melihat Liza pada malam konsert sulungnya Liza Hanim 27 Years Journey awal Februari lalu, jelas memaparkan betapa dirinya mempunyai kualiti tersendiri. Meski dibelenggu masalah kesihatan, dia tidak gentar dan tidak mengalah malah mempamerkan semangat The Show Must Go On dengan jelas sekali.
Lantaran, 30 lagu disampaikan dengan baik dan mendapat sokongan berterusan penonton yang hadir.
Pemilik gelaran penyanyi dengan vokal terbaik ini juga bijak menggunakan pentas konsert dengan menampilkan anaknya Marsya Qistina berduet lagu Bahagiakan Dia.
Liza juga larut dalam emosi dan menitiskan air mata ketika mendendangkan lagu Tiada yang membawa kenangan arwah bapanya, sehinggakan nyanyiannya terhenti seketika sebelum menyambung semula selepas mendapat tepukan gemuruh penonton.
Liza turut memberikan warna istimewa menerusi segmen tribute khas untuk Allahyarham Tan Sri P Ramlee serta insan rapat yang sudah meninggalkannya menerusi lontaran suara lunak mendendangkan lagu Di Manakan Ku Cari Ganti, Jeritan Batinku dan Istana Cinta.
Liza juga bertuah konsert sulungnya dihadiri teman artis termasuk Datuk Seri Siti Nurhaliza, Ziana Zain, Anuar Zain, Jaclyn Victor, Nikki Palikat, Aisha Retno, Noryn Aziz dan ramai lagi.
Liza turut berkongsi rasa terharu dengan sokongan kesemua penyanyi hebat dan ikonik negara itu.
Secara keselurahan, pastinya seisi penonton puas dengan persembahan Liza terutamanya menerusi lagu-lagu hit seperti Gelisah Mimpi, Getaran Cinta Di Jiwa, Merawat Luka Terpendam, Ku Idamkan Rindu, Kerana Terlalu Menyintaimu, Andainya Aku Bersuara dan banyak lagi.
Cuma pada penulis, lagu encore Liza pada malam itu sepatutnya Siapa Sangka Siapa Menduga bagi memberikan satu momen lebih mahal menterjemahkan kredibiliti seorang Liza Hanim. Lagu itu lebih relevan dan signifikasi berbanding lagu My Heart Will Go On nyanyian asal Celine Dion.
Konsert anjuran LH Media Sdn Bhd bersama Laugh Out Loud Entertainment itu mendapat sambutan peminat yang memenuhi ruang termasuk di VIP Box. – THE VOKAL