Jonathan Dan Farel Komited Perjuang Kebaya – Lancar Buku Pesona Kebaya
Dua pereka fesyen bersahabat, Jonathan dan Farel Mikhail komited dalam usaha mereka untuk memartabatkan pakaian tradisional kebaya yang menjadi warisan nenek moyang dalam masyarakat di Malaysia.
Mereka juga menulis dan melancarkan buku Pesona Kebaya dalam usaha menyebar luaskan pengetahuan mengenai pakaian yang kaya dengan nilai sentimental dan estetikal itu.
“Iyalah, mungkin tidak ramai orang muda seperti kami yang mahu memartabatkan baju kebaya yang menjadi warisan budaya Malaysia.
“Bagi kami, anak-anak muda memainkan peranan penting dalam meneruskan budaya turun temurun nenek moyang kita.
“Saya harap buku Pesona Kebaya ini mendapat sambutan ramai kerana ia berkenaan budaya kita. Siapa lagi mahu berbangga dengan budaya kita kalau bukan kita sendiri,” kata Jonathan.
Bercerita lanjut, Farel berkata Malaysia bersama dengan Brunei, Indonesia, Singapura dan Thailand telah menyerahkan pencalonan bersama bagi pakaian tradisional kebaya ke Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) di bawah kategori Representative List of the Intangible Cultural Heritage (ICH) of Humanity bagi tahun 2023.
Ini kerana, kebaya merupakan pakaian yang mewakili warisan budaya dan identiti penting bagi kaum wanita Melayu, Peranakan (Baba Nyonya, Chetti & Jawi) dan lain-lain masyarakat di Malaysia serta negara-negara lain di Asia Tenggara.
“Ada yang bertanya, kenapa memilih kebaya sedangkan banyak lagi pakaian tradisional lain yang boleh dijadikan buku namun bagi kami kebaya mempunyai tarikan dan keunikannya yang tersendiri selain merupakan warisan budaya kita yang harus kita hargai.
“Dalam buku ini, apa yang kami buat adalah untuk memperkasakan baju kebaya yang menjadi budaya Malaysia dan kami nak masyarakat tahu kebaya di Malaysia bukan hanya Kebaya Nyonya dan Kebaya pramugari, sebenarnya ada sepuluh lagi jenis kebaya yang kita patut tahu dan perlu diketengahkan.
“Antara kebaya yang saya maksudkan adalah kebaya Perlis, Pahang, Johor-Riau, Kota Bharu dan banyak lagi. Semuanya kebaya tetapi ada perbezaan dan kelebihan tersendiri yang kita semua harus tahu.
“Selain itu, buku ini juga boleh dijadikan sebagai rujukan kepada pelajar yang mengambil bidang fesyen atau sesiapa sahaja yang meminati fesyen. Mereka boleh melihat perbezaan seperti pola dan cara jahitannya,” katanya.
Sementara itu, mereka sepakat mengundang usahawan selebriti Kak KM sebagai tetamu istimewa pada majlis pelancaran buku tulisan mereka Pesona Kebaya selari dengan fesyen yang sering digayakan Wanita itu.
Lantaran, tidak timbul isu mereka menggunakan atau menumpang populariti Kak KM atau Liana Rosli bagi tujuan pelancaran buku berkenaan yang diadkan baru-baru ini.
Menurut Jonathan, kehadiran selebriti sensasi itu ke majlis pelancaran buku tersebut adalah sebagai tetamu jemputan dan atas dasar persahabatan yang telah lama terjalin.
“Sejujurnya kami tiada niat nak menggunakan nama Kak KM atau selebriti-selebriti lain yang hadir. Kami sudah anggap mereka seperti kakak dan tiada langsung niat mahu mempergunakan mereka untuk menjual buku ini.
“Kami menjemput Kak KM atas dasar persahabatan memandangkan pernah bekerjasama dengan beliau sebelum ini. Lagi pun, inilah masanya untuk berkongsi hari bermakna kami setelah lama impian mahu muncul dengan Pesona Kebaya akhirnya menjadi kenyataan,” katanya ketika ditemui pada Majlis Pelancaran Buku Pesona Kebaya terbitan FM Group di Pavilion Damansara Heights.
Jonathan menambah mereka bertuah apabila dapat bekerjasama dengan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC) untuk mempromosi baju kebaya dalam dan luar negara. Mereka juga mendapat sokongan daripada Jabatan Warisan Negara & Kolej Komuniti Selayang. – THE VOKAL