“Jangan Mimpi Nak Naik Pentas!” – Top 5 Penyampai Radio Popular, DJ Sonic Tenang Populariti Diperleceh
KUALA LUMPUR – Kali pertama membolosi senarai Top 5 Penyampai Radio Popular ABPBH 35, Sonic Hussein atau tegar disapa DJ Sonic beranggapan ia adalah peluang terakhir untuknya menikmati keterujaan tersebut.
Ini kerana menurutnya, saban hari pasti akan muncul ramai bakat baharu dalam industri penyiaran yang semakin kompetitif termasuk daripada barisan penyampai ternama dan popular sedia ada.
“Setiap hari selama lebih dua dekad bergelar deejay, saya akan sentiasa dan terus bekerja keras agar lebih dikenali,” balas DJ Sonic selain menyifatkan kerjayanya dalam dunia penyiaran kian kukuh.
Namun, menjelang ke acara kemuncak yang bakal berlangsung pada Jumaat depan, DJ Sonic atau nama penuhnya, Awang Suffian Awang Hussein, 44, tidak menafikan ada liku yang terpaksa ditempuhinya.
“Selaku kakitangan di stesen radio kerajaan iaitu Nasional FM, saya sedar barisan penyampai kami tidaklah segah mereka yang bertugas di konti swasta.
“Pun begitu, saya tidak melihat situasi itu sebagai penghalang untuk meraih apa jua kejayaan,” ulas anak kelahiran Kapit, Sarawak itu.
Akuinya, paling pedih apabila terdengar segelintir orang mengeluarkan kenyataan prejudis termasuk menafikan kredibiliti dimiliki usai bergelar deejay selama 23 tahun.
“Siap ada yang bersumpah menyatakan saya takkan menang. Malah disindir supaya jangan mimpi nak naik pentas terima trofi,” dedah penyampai yang terkenal dengan kebolehannya bertutur pantas persis watak kartun seekor landak bernama Sonic.
Biar apapun yang sudah, sedang dan bakal terjadi, DJ Sonic menetapkan pendirian untuk bersabar serta menenangkan diri, bahkan membalas segala cemuhan itu dengan senyuman manis yang senantiasa terukir di bibirnya.
“Saya cuma optimis dan positif. Semua ini kuasa Allah. Kalau menang, ia memang satu kemuncak dalam karier saya dan menjadi bonus.
“Meski kalah sekalipun, saya tetap berbangga kerana yakin telah buat sehabis baik, cuma belum cukup baik. Saya akur dan reda…” ulasnya.
Mengimbau detik sekian lama bertugas di konti, wakil tunggal RTM berkenaa amat bersyukur atas pencalonannya dalam anugerah berprestij itu.
Kali terakhir DJ Sonic tercalon dalam acara gemilang itu adalah menerusi ABPBH edisi ke-24 iaitu pada tahun 2011. – THE VOKAL