
Itu Rakaman Lama – Janna Nick Enggan Jadikan Ujian Orang Bahan Jenaka
Bagi pelakon popular Janna Nick, ujian yang sedang dihadapi oleh seseorang itu bukan bahan yang boleh dibuat jenaka untuk hiburan orang ramai.
Sebaliknya, dia sangat bersimpati dengan nasib mereka yang terlibat dalam isu yang hangat diperkatakan kini apatah lagi mengheret ramai selebriti.
“Jangan palitkan saya dengan isu-isu ini sebab saya turut simpati dengan semua pihak.
“Saya anggap ini ujian untuk mereka dan dugaan orang kita tak nak jadikan bahan jenaka sebab kita takut berbalik kepada kita,” katanya ketika ditemui di majlis Raikan Raya bersama Warner, semalam.
Janna mengulas perkara itu selepas ditanya mengenai video dirinya mengusik Ruhainies sebagai penyondol dalam program Famili Duo 3 kembali tular.
Baginya, tiada niat langsung untuk menyindir mahupun sengaja memberi bayangan berkenaan kontroversi membabitkan rakan seperjuangannya itu dengan pelakon Aliff Aziz.
“Video itu video lama, tiada niat untuk menyindir atau nak tumpahkan ‘tea’, tidak dan saya pun tidak tahu mengapa rakaman itu tular kembali.

“Sebenarnya video tersebut hanyalah gurauan berkaitan isu-isu semasa pada ketika itu yang juga sedang tular mengenai kontroversi penyondol.
“Saya dengan Ruhainies pada ketika itu sudah berdamai, tiada pergaduhan dan sebagainya, jadi kenapa saya nak menyindir hal tidak baik. Ketika itu dia pun tahu gurauan dan faham,” katanya.
Video berkenaan kembali tular selepas kes Ruhainies dan Aliff Aziz hangat diperkatakan.
Ketika itu, Janna mengusik Ruhainies yang datang ke program realiti berkenaan selaku duta kepada penaja rancangan.
Dalam ruangan komen hantaran tular itu, ramai mendakwa isteri kepada pelakon Dini Schatzmann itu sudah mengetahui rahsia disimpan pihak tertentu sekali gus memberi bayangan ketika program realiti itu awal tahun ini. – THE VOKAL