Ibu Buta Huruf Sumber Inspirasi – Permulaan Empayar MommyHana
Kecekalan ibu yang meski buta huruf namun gigih mengubah nasib hidup dan berani berniaga menjadi inspirasi kepada wanita ini.
Berbekalkan semangat berkenaan, Hana Shahadan nekad menyusun langkah hingga kini berjaya membina empayar perniagaan dengan jenama MommyHanna.
Menyorot kehidupan awalnya seperti yang dikongsikan dalam sesi podcast Apa Cerita? kendalian Asyraf Khalid dan Ishraq Kamarudin, sosok wanita cekal ini menyingkap bagaimana usaha kerasnya mencari pendapatan sendiri sehingga melanjutkan pengajian di peringkat universiti.
Hana berkongsi, ibunya tidak mampu membaca dan memandu, namun mampu meneruskan kerjaya perniagaan memberi inspirasi buatnya untuk terus berusaha demi mengubah nasib keluarga.
“Daripada kecil memang saya rapat dengan emak sebab saya anak bongsu. Adik-beradik saya tiga lelaki dan tiga perempuan. Daripada kecil saya memang ikut apa yang emak buat ataupun apa yang diajar. Emak saya sudah meninggal, jadi bila impas kembali memori itu ia akan memberi makna.
“Emak saya tidak boleh membaca, bawa basikal, motosikal dan kereta. Saya juga dibesarkan dalam keluarga yang susah. Keluarga saya tiada kereta, jadi kalau di kampung akan berjalan kaki sahaja. Emak saya hanya suri rumah dan akan buat perniagaan.
“Emak ada katalog kosmetik dan dia akan berjalan keliling kampung untuk berniaga. Adakala berjalan ke 20 rumah untuk berniaga. Saya memang ingat sebab dulu kalau balik sahaja dari tadika, saya memang akan ikut emak dan pusing keliling kampung.
“Saya bukan yang lahir sahaja terus senang sebagaimana saya sekarang ini. Orang memang sudah kenal emak dan sampai sekarang orang kampung ingat. Emak juga adalah orang yang sangat disenangi. Banyak perkara dia tak boleh buat, jadi dia hanya boleh bercakap dan layan orang dengan baik,” katanya.
Biarpun hidup dalam serba kekurangan, Hana berkata, mereka tetap merasa bahagia dan banyak belajar daripada ibunya yang dianggap sebagai watak penting dalam hidupnya.
Dalam pada itu, Hana mengakui institusi kekeluargaan yang saling menyokong antara satu sama lain sangat penting dalam membentuk seseorang menjadi individu berjaya dan mempunyai keyakinan diri tinggi.
“Institusi kekeluargaan pada saya memang sangat penting. Di mana saya berada sekarang adalah disebabkan dengan adanya sokongan daripada keluarga. Bagaimana kita dibesarkan dalam keluarga itulah yang membentuk kita hari ini.
“Sebagai contoh, semasa kecil saya lalui pelbagai perkara yang sukar. Jadi, ia satu proses yang boleh buatkan saya lagi kuat dan sudah jadi tidak kisah bila besar ini berdepan dengan perkara sukar.
“Saya sudah lalui semua. Walaupun susah, kami sekeluarga memang sangat rapat dan sentiasa menyokong antara satu sama lain, itu yang penting,” katanya.
Selepas berdepan pelbagai gelora dan kesusahan hidup, Hana membuktikan dirinya mampu bangkit dan menjadi antara individu disegani pada era kini.
Buktinya, Hana mewujudkan jenama MommyHana yang menumpukan kepada mempromosikan nilai Islam melalui pelbagai penyelesaian dengan memenuhi keperluan keluarga Muslim moden sehingga mampu memberi manfaat kepada ramai orang.
Sementara itu, perkongsi Hana mengenai perjalanan hidupnya sebelum bergelar usahwawan berjaya menuai pelbagai komen dan reaksi daripada netizen apabila rata-rata mengakui terinspirasi dengan kisahnya.
Ada yang menyifatkan perkongsian itu mampu membuka mata ramai termasuk menyuntik semangat untuk terus berjuang mengubah nasib diri dan keluarga, malah memberi kesedaran bahawa setiap orang mampu berjaya dengan cara tersendiri.
“Saya perlu memberi penghormatan kepada MommyHana! Bisnes sambil beramal, secara tidak langsung berdakwah di permulaan pertumbuhan kanak-kanak. Sangat menginspirasikan,” kata seorang penonton.
“Perkongsian yang bagus daripada Pengasas MommyHana. Perkongsian kali ini sangat seronok, teruskan,” kata penonton lain.
“Cerita yang sangat menginspirasikan, terima kasih kerana mengetengahkan cerita sebegini untuk kita ambil inspirasi dan manfaat,” kata seorang lagi penonton. – THE VOKAL