Hellooo! – Dafi Kembali Dari Pertapaan
Bulan Ogos ini akan menjadi sebuah permulaan yang sangat dinantikan Dafi selepas lama memerhati waktu yang tepat untuk keluar daripada ‘pertapaan’.
Mempertaruhkan single terbaru berjudul Hellooo!, Dafi atau pemilik nama penuh Gadaffi Ismail Sabri ini memilih frasa sapaan sebagai mukadimah untuk menyapa satu sama lain.Hellooo! ialah karya garapan komposer Shazee Ishak dan lirik oleh Altimet.
“Sudah lama sebenarnya saya tidak tampil dengan single baru, sehinggakan ada yang lupa saya sebenarnya penyanyi. Ini kerana saya lebih memberikan fokus kepada bidang lakonan.
“Memandangkan karya ini sudah lama berada dalam simpanan dan sudah dirakamkan, ini adalah masa terbaik untuk dilancarkan khas untuk halwa telinga semua pihak.
“Beberapa tahun tertangguh, tidak dinafikan ada rasa ralat dalam diri kerana semuanya sudah disiapkan cuma ada hal teknikal yang tidak dapat dielakkan menyebabkan ia disimpan dahulu,” kata Dafi.
Jejaka berusia 36 tahun ini turut menjelaskan hala tuju muziknya kini sudah berubah apabila mempamerkan sisi kematangan terutama dalam menyebarkan aura positif.
“Semakin dewasa dalam bermuzik, saya ingin menyajikan kelainan sewaktu menyampaikan lagu yang penuh dengan semangat muda, persahabatan dan juga aura positif.
“Saya dikenali menerusi lagu Bila Terasa Rindu, namun saya ingin bereksperimentasi dengan muzik sejajar dengan peningkatan usia, sekali gus memberi impak positif kepada kerjaya.
“Single ini begitu istimewa kerana dihasilkan dua figura yang juga merupakan idola saya dalam industri.
Karya yang mereka hasilkan sering mencetuskan magis, jadi pertama kali mendengar Hellooo!, saya sudah jatuh cinta,” katanya.
Berkongsi lanjut mengenai single terbaharunya itu, Dafi menyifatkan Hellooo! menjadi simbolik kepada kekuatan dirinya yang tidak pernah berputus asa dalam hidup.Hellooo! boleh didengari menerusi platform penstriman seperti Apple Music, Spotify, Joox, Youtube Music, Tik Tok, Amazon Music, Tidal dan Deezer bermula 16 Ogos lalu.- THE VOKAL