Helah Bawa Tanglung – Seludup Rokok Dan Arak
Mengambil kesempatan dengan sambutan Tahun Baru Cina bulan depan, satu sindiket cuba mengelirukan pihak Kastam dengan mengisytiharkan kononnya membawa masuk tanglung, pakaian dan perabot.
Cubaan mereka gagal apabila Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) berjaya menghidu taktik dan merampas rokok serta arak dalam satu rampasan di Pelabuhan Klang, Selangor.
Rampasan itu dilakukan apabila JKDM menjalankan pemeriksaan ke atas enam kontena dan satu premis di Pelabuhan Utara, di sini pada 14 Disember hingga 8 Januari lalu.
Penolong Ketua Pengarah Kastam Zon Tengah JKDM Norlela Ismail berkata, hasil pemeriksaan pihaknya merampas 12 juta batang rokok putih dan 6,365 liter minuman keras bernilai RM9 juta.
Beliau berkata, bagi rampasan minuman keras pula semua kontena diimbas menggunakan mesin pengimbas dan imej imbasan menunjukkan imej yang meragukan dan tidak konsisten dengan deskripsi yang dinyatakan.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(a) Akta Kastam 1967 dan Seksyen 135 (1)(d) Akta Kastam 1967. – THE VOKAL