Hati-Hati Penduduk Klang – Air Sungai Lepasi Paras Bahaya
Penduduk Klang khasnya mereka berhampiran Sungai Binjai di Meru perlu berhati-hati memandangkan bacaan paras air 4.66 meter (m) melebihi tahap bahaya 4.2 m setakat 7.15 pagi hari ini.
Situasi itu seterusnya dikhuatiri menyebabkan limpahan air yang berisiko mengakibatkan banjir.
Berdasarkan laman Public Infobanjir, paras air itu terus menunjukkan trend menaik, disebabkan oleh hujan lebat di sekitar ibu kota dan Selangor, sejak pagi tadi.
Menurut laman web sama, Sungai Rasau di Tugu Keris, Klang dan Sungai Damansara di Kampung Melayu Subang, Petaling, mencatatkan paras air melebihi tahap amaran.
Sungai Rasau merekodkan bacaan 3.9 m, melebihi paras amaran 3.6 m dan Sungai Damansara mencatatkan bacaan 16.99 m melebihi tahap amaran 16.9 m
Beberapa sungai lain di sekitar Selangor merekodkan bacaan pada paras normal, bagaimanapun berdasarkan laman Public Infobanjir, ia menunjukkan trend menaik termasuk Sungai Rawang di Rawang Tin, Gombak dan Sungai Klang di Bandar Klang. – THE VOKAL