[V] Hasif Upin Akui ‘Koyak’ Dituduh Tumpang Populariti Ziana Zain – “Saya Rasa Mahu Berhenti Menyanyi”
KUALA LUMPUR – Pendatang baharu seni muzik tanah air, Hasif Upin menafikan kenyataan sesetengah pihak yang mendakwa dia mahu menumpang populariti Ziana Zain sementelah berduet menerusi lagu Waktu.
Hasif atau Hasif Sharuddin, 31, berkata, dia sudah memiliki pengikut tersendiri di laman TikTok sebelum dikenali dengan lagu berjudul Waktu, yang menampilkan dirinya berduet dengan Ziana.
“Saya juga sudah berlakon dalam filem produksi Indonesia berjudul Paku Tanah Jawa yang bakal ditayangkan Disember nanti,” katanya.
Pada masa sama, Hasif mengakui terkesan dengan komen sesetengah pihak yang menganggap dirinya tidak layak untuk berduet dengan Ziana.
Gara-gara itu, dia pernah terfikir untuk menamatkan karier nyanyian selepas terasa hati dengan kritikan netizen.
Akibat daripada itu juga, dia tidak dapat memberikan persembahan terbaik ketika muncul dalam sebuah program televisyen.
“Saya pernah menyanyi dalam keadaan menggigil ketika muncul dalam sebuah program sebelum ini. Ketika itu saya baru terbaca komen negatif di media sosial, jadi ia sedikit mengganggu.
Hasif bagaimanapun berkata,semangatnya kembali memuncak selepas menerima kata-kata sokongan daripada Ziana dan pihak pengurusan.
Malah, dia mengambil keputusan untuk tidak lagi membaca komen di media sosial, malah lebih memberi fokus kepada kerjaya seni. – THE VOKAL