Hargai Sokongan, Rosyam Nor Mahu Hadiahkan Baucar Bernilai RM100,000 Kepada Orang Ramai
KUALA LUMPUR – Seperti sedia maklum, aktor terkenal negara, Datuk Rosyam Nor telah pun membina empayar perniagaannya dengan mengusahakan rangkaian pasar raya di bawah jenama ST Rosyam Mart.
Memasuki tahun kelima beroperasi menerusi pembukaan tujuh cawangan di sekitar Lembah Klang, Rosyam dalam satu kenyataan dikeluarkan berkata, sudah tiba masa dia harus membalas budi kepada para pelanggan setianya.
“Bermula 1 Oktober lalu hingga hujung Disember ini, para pelanggan ST Rosyam Mart dan Sri Ternak Food Mart yang telah mendaftar sebagai ahli menerusi aplikasi ST Card layak memenangi baucar hadiah bernilai RM100,000.
“Bagaimanapun, barangan subsidi kerajaan seperti beras, minyak masak dan lain-lain barangan yang telah diwartakan kementerian tidak akan diambil kira,” memetik kenyataannya.
Tambah Rosyam, senarai nama pemenang bulanan yang berjaya mengungguli pertandingan yang dinamakan Peraduan Beli & Menang Baucar Hadiah RM100,000 akan diumumkan di akaun media sosial rasmi kedua-dua pasar raya berkenaan.
Mengulas lanjut, Rosyam menjelaskan, ada dua kategori baucar hadiah ditawarkan iaitu bagi pemenang utama dan juga pemenang saguhati untuk ketiga-tiga bulan terbabit.
Justeru, Rosyam amat mengalu-alukan penyertaan umum bagi merebut peluang keemasan memenangi baucar hadiah RM100,000 yang ditawarkannya menerusi anjuran julung kali peraduan tersebut semenjak pasar rayanya mula beroperasi pada 2018.
Orang ramai yang ingin menyemak senarai lokasi premis cawangan ST Rosyam Mart atau Sri Ternak Food Mart, boleh layari laman sesawang www.sriternak.com atau rujuk laman sosial rasmi mereka di semua platform sedia ada. – THE VOKAL