Hanya Disyaki Belum Sah Kanser – Nur Sajat Kurus Mendadak
Selepas berat badannya turun mendadak, usahawan kosmetik dan selebriti media sosial Nur Sajat disyaki menghidap penyakit kanser.
Dia memberitahu doktor hanya mensyaki dia menghidap penyakit berbahaya itu dan menyarankan dirinya menjalani pemeriksaan kesihatan menyeluruh serta Imbasan Tomografi Berkomputer atau CT Scan bagi mendapatkan pengesahan.
Menurut Sajat yang kini bermastautin di Australia, keadaan berat badannya semakin berkurangan disebabkan aktif menyertai kelas tarian, selain berdiet.
Pempengaruh media sosial berusia 38 tahun itu turut mengakui tertekan apabila keadaan tubuhnya dipersoalkan segelintir individu terutama ketika melakukan siaran langsung.
Perkara tersebut membuatkannya lebih beremosi tambahan pula pada ketika dia tinggal bersendirian di negara orang.
Beberapa hari lalu Sajat dalam keadaan menangis membuat pengakuan mengejutkan apabila mendakwa hanya menunggu masa berikutan serangan kanser.
Walaupun tidak memperincikan sebarang informasi tambahan, rata-rata netizen meluahkan simpati selain ada yang meminta maaf kepadanya. – THE VOKAL