Hanya ada Satu Sathiya – Mahu Terus Bekerja, Ada Sedikit Simpanan
Pelawak terkenal Sathiya bersemangat untuk meneruskan kerjaya seninya meskipun baru pulih dari serangan angin ahmar baru-baru ini.
Dia yang sangat sinonim dalam sitkom Pi Mai Pi Mai Tang Tu berkata, dia akan turun ke set penggambaran bulan depan.
“Hanya ada satu Sathiya, kalau ada Sathiya dua saya boleh berehat tapi saya ada satu saja.
“Saya masih aktif berlakon dan akan terus aktif,” katanya ketika ditemui pada majlis Afyaa Dari Poket Artis Ke Poket Artis di Shah Alam, hari ini.
Sathiya, 60, yang baru dibenarkan pulang ke rumah Sabtu lalu selepas menerima rawatan di Hospital Kuala Lumpur (HKL) akibat serangan angin ahmar ringan.
Sathiya berkata, dia bersyukur keadaan kesihatannya sudah beransur pulih, namun belum mempunyai kekuatan untuk memandu kereta.
Menurut Sathiya, biarpun diuji dengan kesakitan, namun dia enggan membebankan mana-mana pihak.
“Saya tidak harapkan duit sesiapa. Saya ada duit simpanan sikit untuk meneruskan hidup.
“Duit banyak mana pun, tetap tiada gunanya. Selagi masih ada kudrat untuk bekerja, saya akan teruskan.
“Anak-anak pun sudah besar dan bekeluarga. Saya kini hanya perlu kerja untuk menyara isteri saya,” katanya. – GayahIsTyping