Han Byul Tidak Dapat Beraksi Di Konsert Apresiasi Irama Keroncong Malam Ini Dek Masalah Puspal
KUALA LUMPUR – Sungguh menyedihkan buat penganjur Konsert Apresiasi Irama Keroncong Malaysia apabila berhadapan dengan masalah Permohonan Penggambaran Filem Asing dan Persembahan Artis Luar negara (PUSPAL) sehingga salah seorang penyanyi yang dijadualkan membuat persembahan, gagal untuk berada di atas pentas seperti yang dijadualkan.
Han Byul yang merupakan penyanyi berasal dari Korea sepatutnya menyanyikan dua buah lagu iaitu Winter Sonata dan Cinta Abadi dalam versi keroncong dalam konsert yang dianjurkan oleh Irama Studios itu.
Konsert yang bakal berlangsung pada malam ini dan esok di Istana Budaya tersebut berhadapan dengan masalah permohonan dan kelulusan daripada pihak PUSPAL yang diuruskan oleh JBH Event.
“Han Byul merupakan salah satu tarikan untuk konsert ini dan kami pasti para peminat beliau menantikan penyanyi luar untuk menyanyi serta menghargai muzik dan irama tanah air kita.
“Adalah menjadi satu cabaran dan kesulitan buat pihak penganjur apabila PUSPAL tidak melepaskan kelulusan untuk Han Byul sedangkan beliau mempunyai peminat yang tersendiri di Malaysia di samping rekod yang bersih.
“Tambahan pula, Han Byul merupakan juara program Big Stage yang turut dianjurkan di Malaysia,” ujar Nazrul Asraf Mahzan yang merupakan penganjur.
Tambah Nazrul, sayang sekali, peluang untuk memperkenalkan Irama Warisan Keroncong Malaysia ke peringkat antarabangsa dan dinyanyikan oleh penyanyi berbangsa Korea terbeku begitu sahaja dan ditolak sebarang rayuan oleh pihak Puspal.
Sedih dan ralat dengan ujian yang dihadapi saat akhir ini, Nazrul Asraf berharap para peminat Han Byul dapat memahami situasi yang dihadapi oleh pihak penganjur setelah segala inisiatif dan upaya telah dilakukan.
Pihak penganjur juga berharap para peminat terus memberikan sokongan terhadap konsert yang mengangkat muzik keroncong sehingga dijadikan satu konsert khas atas nama irama itu sendiri.
Bersama Datuk Yusni Hamid dan Datuk Khadijah Ibrahim akan ikut berdendang bersama Datuk Awie serta Datin Alyah.
Ini ditambah lagi dengan kehadiran pelapis-pelapis generasi baharu iaitu Rasyidah Abd Rahim (Bintang Klasik 2012), Rizal Ahmad (Juara Bintang Nostalgia 2013), Jamilah Abu Bakar (Puteri keroncong) dan sepatutnya Han Byul.
Konsert Apresiasi Irama Keroncong Malaysia ini akan diiringi oleh pemuzik yang cukup berprolifik dari Orkestra Keroncong Irama Perindu. Orkestra Keroncong Irama Perindu adalah kumpulan pemuzik yang ditubuhkan pada tahun 2004 seiring dengan penubuhan Irama Studios.
Irama Studios menganjurkan Konsert Apresiasi Irama Keroncong Malaysia atas sokongan Kementerian Komunikasi Dan Digital serta Mycrea8ve Ventures Sdn Bhd.
Tiket-tiket konsert masih boleh menerusi https://ilassotickets.com dengan harga RM588.00, RM388.00, RM288.00, RM188.00 & RM88.00 – THE VOKAL