Mitos Seram Di Pejabat Dan Gangguan Di Tempat Kerja Dirungkai Dalam Filem Syif Malam
Bermula dengan drama pendek yang diterbitkan untuk siaran YouTube, kini naskhah Syif Malam diperpanjangkan menerusi format filem apabila bakal ditayangkan pada 7 Disember ini.
Pengarahnya Fairus Anuar berkata, berbekalkan maklum balas positif yang diterima di ruangan komen YouTube Awan Nimbus, ia sekali gus mendorongnya untuk menghasilkan filem berkenaan.
“Drama pendek Syif Malam telah dimuat naik di laman YouTube sejak sembilan tahun lalu dan sehingga kini mencatat sebanyak 1.6 juta tontonan.
Bercerita mengenai filem pertama arahannya itu, Fairus memberitahu, ia menggabungkan elemen fiksyen seram dan komedi gelap yang sudah lama tidak disajikan dalam karya tempatan.
Filem sulung terbitan Empire Film Solution dan Thinkerbell Studios itu diinspirasikan daripada masyarakat yang bekerja mencari rezeki pada waktu malam dan berhadapan dengan gangguan yang menyeramkan serta menakutkan di tempat kerja.
“Filem seram ini disampaikan dalam bentuk komedi gelap. Saya juga memasukkan elemen realisme bagi menghidupkan jalan cerita di mana ia memaparkan situasi pekerja yang terpaksa melayan kerenah birokrasi di pejabat ditambah lagi gangguan mistik pada waktu malam.
“Mengekalkan konsep dan naratif yang sama dengan drama pendek terdahulu, cuma lokasi dan cerita berbeza. Saya juga mengekalkan seorang pelakon dari drama pendek itu cuma watak berbeza,” ujarnya.
Sementara itu, penerbitnya, Mohamad Zubir Badar Shair menjelaskan, idea menerbitkan Syif Malam timbul selepas menonton versi drama pendek di YouTube.
“Menerusi drama pendek berdurasi 14 minit itu, saya lihat konsep dan jalan ceritanya cukup menarik dan menyeramkan.
“Kemudian timbul idea untuk dikembangkan pula menjadi sebuah filem, tambahan pula genre seram cukup digemari penonton,” akuinya kepada media.
Fairus dan Zubir berkata demikian ketika ditemui usai majlis pratonton yang berlangsung baru-baru ini.
Melihat sambutan orang ramai terhadap filem bergenre seram, Zubir yakin filem ini dapat menarik perhatian peminat. – THE VOKAL