Gunung Merapi Meletus! – 11 Maut, 12 Masih Hilang
Seramai 11 pendaki maut manakala 12 lagi masih hilang dalam tragedi letusan Gunung Merapi di Sumatera Barat, Indonesia Isnin lalu.
Gunung Merapi yang juga gunung berapi paling aktif di Pulau Sumatera, meletus petang Ahad menyebabkan abu melitupi daerah Agam di Sumatera Barat.
Memetik laporan Reuters, Pusat Vulkanologi dan Mitigasi Geologi Indonesia (PVMBG) melaporkan, letusan pada pukul 2.54 petang waktu tempatan itu memuntahkan abu hingga bertebaran sejauh tiga kilometer (km) dari kawah puncak.
Dalam pada itu, pihak berkuasa tempatan menasihati orang ramai supaya memakai pelitup muka ketika keluar rumah, dan membersihkan bumbung diselaputi abu gunung berapi bagi mengelakkan ia runtuh.
Untuk rekod, Gunung Merapi meletus pada 8 September 1830 dan sekali lagi pada 30 April 1979 yang menyebabkan sekurang-kurang 60 kematian.
Ia turut menunjukkan peningkatan aktiviti dari akhir 2011 hingga awal 2014 sebelum meletus pada 26 Februari 2014. – THE VOKAL