
Geng Kubur – Dari Suka Lepak, Idea Jadi Filem
Bermula dengan dirinya yang gemar melepak di kubur membuatkan pengarah Gavin Yap mendapat idea untuk menghasilkan sebuah filem.

“Saya tidak pasti sama ada secara kebetulan atau tidak, apabila kami menetap di Damansara Utama, rumah kami terletak hampir dengan tanah perkuburan. Setelah pindah ke Pulau Pinang, kediaman kami juga masih dekat dengan kubur.
“Jadi, boleh dikatakan melepak di dalam kawasan tanah perkuburan memang menjadi antara aktiviti saya bersama rakan-rakan semasa zaman persekolahan dulu,” ujarnya yang pernah mengarahkan filem Dendam Pontianak.

Berdasarkan pengalamannya itu telah menghasilkan sebuah filem seram berjudul Geng Kubur, di mana dia turut bertindak sebagai pengarah dan penulis skrip.
Bercerita lebih lanjut mengenai filem tersebut, Gavin berkata, ia mengisahkan tentang empat orang sahabat baik yang menjadikan lepak di tanah perkuburan sebagai aktiviti utama mereka.

“Geng Kubur bukan sekadar filem seram semata-mata, tetapi ia menitikberatkan kepada perjalanan kehidupan setiap watak iaitu empat orang sahabat.
“Di sebalik kegemaran melepak di kawasan kubur, masing-masing ada kisah sendiri yang telah menghantui kehidupan mereka,” ujarnya.

Filem Geng Kubur menampilkan barisan pelakon-pelakon muda seperti Firdaus Sufiyan, Mia Sara Shauki, Lion Chong dan Sasidaran selaku teraju utama.
Diterbitkan Iron Hill Media Sdn. Bhd., filem Geng Kubur akan menemui penonton di pawagam mulai 25 April 2024. – THE VOKAL