Filem Kontroversi Pulau Catat Sejarah Di Kemboja, Naskhah Seram Malaysia Pertama Kaut RM700,000
KUALA LUMPUR – Filem kontroversi, Pulau yang ditayangkan di pawagam Malaysia pada 8 Mac lalu berjaya mengaut lebih daripada RM700,000 menerusi tayangan di Kemboja pada 22 Jun seperti dinyatakan oleh pihak Westec Media.
Selain itu, Westec Media selaku pengedar turut mengumumkan naskhah tersebut merupakan filem Malaysia pertama mencatat keuntungan tertinggi di Kemboja.
Pulau memegang rekod untuk pembukaan paling besar pada hari pertama, hujung minggu pertama, kedua dan ketiga bagi filem Malaysia di sana.
Ia juga merupakan filem Malaysia nombor satu dan filem seram ketiga secara keseluruhan untuk Westec Media pada tahun 2023.
“Kami sangat gembira kerana Pulau berjaya menarik perhatian penonton yag luar biasa di Kemboja.
“Bersama dengan rakan pengedar, My Way Pictures dan Filmforce Studio, kami turut bangga adapat menyokong pembikinan filem yang berjaya di Malaysia dan seluruh Asia Tenggara.
Sementara itu, Pengarah Eksekutif My Way Pictures, Michael Helfman menjangkakan, bintang serantau seterusnya adalah pelakon daripada filem Pulau.
“Benarlah seperti yang dikatakan, seluruh barisan pelakon telah memberikan yang terbaik sehingga filem Pulau mendapat kejayaan yang mengejutkan di Kemboja.
“Saya amat berbangga kerana dapat terlibat dalam pembikinan filem Pulau yang dibintangi para pelakon Malaysia yang sangat berdedikasi dan berbakat,” ulasnya.
Pada masa sama, Pengerusi Finas, Datuk Kamil Othman menyuarakan, kerjasama serantau itu melambangkan era baharu bagi industri kreatif Malaysia.
“Kami bersemangat untuk melihat lebih banyak lagi kandungan daripada Malaysia, menawan penonton di Kemboja dan lebih jauh lagi,” katanya.
Selain daripada tayangan di panggung wayang, Pulau telah dipilih untuk Festival Filem Antarabangsa Kemboja 2023 dan menjadi satu-satunya wakil dari Malaysia.
Pulau juga telah ditayangkan di Vietnam (juga menjadi filem Malaysia dengan keuntungan tertinggi sepanjang masa), Indonesia, Singapura dan Brunei.
Memanfaatkan kejayaan Pulau di Kemboja ini, WebTVAsia dan Westec Media juga menandatangani MOU penting hari ini untuk bersama-sama membangunkan rangkaian pengkarya digital bersijil YouTube pertama di Kemboja di bawah payung MCN WebTVAsia. – THE VOKAL