Fattah Fazura Cerai : Nafi Curang, Tak Sangka Buka Aib
Pelakon, Fattah Amin, 33, menafikan dakwaan dia berlaku curang menerusi pendedahan yang dibuat bekas isterinya, Nur Fazura, 41, selepas disahkan bercerai talak satu di Mahkamah Rendah Syariah Petaling, Subang Bestari, di sini, hari ini.
Fattah berkata, dia terkejut dengan tohmahan yang dilemparkan dan menyifatkan tuduhan melampau itu bertujuan untuk memalukan dirinya.”Saya menafikan tuduhan itu.
Malah, peguam dia sebelum ini pun sudah jelaskan tiada kes curang. Kenapa tiba-tiba perkara ini dibangkitkan.
“Saya pun ada bukti dan ia satu tohmahan untuk memalukan dan mencemarkan nama baik saya,” katanya.
Menurut Fattah, dia kesal dengan segala kenyataan yang dikeluarkan oleh bekas isterinya walaupun masing-masing sudah memeterai perjanjian untuk tidak memburukkan sesiapa.
“Kami sudah ada perjanjian bersama sebelum saya lafazkan talak. Perjanjian kami adalah masing-masing perlu menjaga aib dan tidak mencemarkan nama baik.
“Itu perjanjian yang sudah ditandatangani bersama sebelum lafaz. Saya agak terkejut kenapa tiba-tiba ada kenyataan sebegitu daripada dia. Saya sangat sedih,” katanya.
Ditanya mengenai punca perceraian, Fattah menganggap tiada persefahaman di antara mereka.”Tiada persefahaman, itu saja. Kalau fasal curang peguam dia sudah nafikan sebelum ini,” katanya.
Terdahulu Fazura mendedahkan tiga punca perceraian dan salah satunya adalah kecurangan yang dilakukan Fattah semasa mereka masih bergelar suami isteri.Dua lagi punca ialah pengabaian nafkah dan tiada persefahaman.
Fattah dan Fazura berkahwin pada 27 November 2017 dan dikurniakan seorang cahaya mata, Nur Fatima Aisya, 4.
Sumber: HARIAN METRO