Ebit Lew Kirim Gambar Alat Sulit Lelaki – Saksi Beritahu Mahkamah
Seorang wanita hari ini memberitahu Mahkamah Majistret Tenom, bahawa Ebit Irawan Ibrahim Liew atau Ebit Lew, pertama kali mengirim gambar alat sulit lelaki kepadanya pada 4.30 petang, 14 Mac 2021 melalui aplikasi WhatsApp.
Wanita berusia 40-an itu berkata demikian selaku saksi kesembilan pendakwaan yang juga pengadu kes, pada perbicaraan kes gangguan seksual pendakwah tersebut.
Terdahulu wanita itu memberitahu mahkamah dalam perbicaraan di hadapan Majistret Nur Asyraf Zolhani bahawa beliau telah menghubungi Ebit Lew melalui aplikasi Instagram, bagi meminta nasihat berhubung masalah kekeluargaan pada 4 Mac 2021.
Saksi berkata, melalui aplikasi Instagram itu, Ebit Lew telah meminta nombor telefonnya pada tarikh yang sama dan sejak itu wanita tersebut sentiasa menerima panggilan dari tertuduh antara Mac hingga Jun 2021 melalui aplikasi WhatsApp.
Memetik laporan Harian Metro dia berkata, Ebit Lew sekali lagi membuat panggilan video pada 29 Mac 2021 dan memperlihatkan alat sulitnya, dan ketika itu saksi sempat menangkap gambar untuk ditunjukkan kepada suaminya sebagai bukti, kerana suami saksi pada mulanya tidak percaya Ebit Lew berkelakuan seperti itu.
Wanita itu berkata, pada bulan Ramadan antara April dan Mei 2021, tertuduh juga memaksa saksi menjawab panggilan video dan memperlihatkan kemaluannya sehingga wanita itu menyekat nombor telefon Ebit Lew di aplikasi WhatsApp.
Saksi mendakwa tertuduh juga pernah meminta beliau melakukan perbuatan bertukar pasangan, yang mana saksi dan suaminya bertukar pasangan bersama tertuduh dan isterinya.
Beliau berkata, pada 11 Julai 2021, dia sekali lagi telah menyekat nombor telefon Ebit Lew, apabila tertuduh memaksa pengadu menjawab panggilan video dan menghantar teks di aplikasi WhatsApp, selain memaksa tertuduh menghantar gambar dan memarahi saksi kerana tidak melayan kehendaknya.
Pada 29 Julai 2021, saksi menghubungi Ebit Lew apabila tersebar beberapa gambar mengaitkan tertuduh dengan kes gangguan seksual, yang mana beliau mengakui ada laporan dibuat terhadapnya, sebelum saksi memutuskan untuk membuat laporan polis.
Ebit Lew, 38, berdepan 11 pertuduhan, antaranya mengaibkan kehormatan seorang wanita berumur 40-an dengan menghantar perkataan dan gambar lucah ke nombor telefon mangsa melalui aplikasi WhatsApp antara Mac dan Jun 2021.
Pertuduhan mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan itu, membawa hukuman maksimum penjara lima tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan. – THE VOKAL