
Dua Mangsa Pesawat Terhempas – Keadaan Belum Disahkan
Dua mangsa iaitu seorang penumpang dan juruterbang disahkan berada dalam pesawat ringan jenis BK 160 Gabriel yang terhempas di Kapar, Selangor hari ini.
Ketua Pegawai Eksekutif Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM), Datuk Kapten Norazman Mahmud berkata, keadaan seorang juruterbang dan penumpang pesawat terbabit belum dapat disahkan.

Menurutnya, pesawat malang itu dikendalikan oleh Air Adventure Flying Club yang berlepas dari Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah jam 1.28 tengah hari tadi bagi penerbangan rekreasi.
“Hubungan terakhir pesawat dengan pegawai kawalan trafik udara dilaporkan pada jam 1:35 tengah hari namun tiada panggilan kecemasan diterima.

“Seorang juruterbang dan penumpang berada dalam pesawat tersebut, namun keadaan kedua-dua mangsa masih belum dapat dipastikan setakat ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, Pusat Koordinasi Menyelamat Aeronautikal Kuala Lumpur (KLARCC) di Pusat Kawalan Trafik Udara Kuala Lumpur (KLATCC) diaktifkan serta merta untuk mengenal pasti lokasi pesawat.
Katanya, siasatan lanjut akan dijalankan Biro Siasatan Kemalangan Udara di bawah Kementerian Pengangkutan mengikut Bahagian XXVI Peraturan-peraturan Penerbangan Awam 2016. – THE VOKAL