Doktor Pornografi Kanak-Kanak – Didakwa Lima Kesalahan
Seorang pegawai perubatan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kemaman, hari ini, atas pertuduhan melakukan amang seksual dan menghasilkan gambar pornografi terhadap enam kanak-kanak.
Dr Anas Ramli, 32, membuat pengakuan tidak bersalah itu selepas kesemua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Wan Suhaila Mohd.
Tertuduh yang berasal dari Chukai, Kemaman didakwa atas lima kesalahan menghasilkan pornografi dalam bentuk gambar terhadap lima kanak-kanak berusia antara tujuh hingga 11 tahun ketika bertugas di Hospital Kemaman.
Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di wad yang sama iaitu pada hujung Disember 2022 hingga Februari 2023.
Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 5 Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 (AKKSTKK) yang dibaca bersama Seksyen 16 (1) akta yang sama.
Dr Anas juga didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap mangsa berusia 12 tahun di sebuah bilik rawatan di hospital terbabit antara jam 5.45 petang hingga 6.40 petang pada 8 Februari 2023.
Justeru tertuduh didakwa mengikut Seksyen 14(a) AKKSTKK 2017 dibaca bersama Seksyen 16(1) akta yang sama.
Sementara itu, di Mahkamah Majistret, tertuduh turut mengaku tidak bersalah atas dakwaan memiliki gambar lucah yang disimpan di dalam telefon bimbitnya pada 1 November 2022 antara jam 7.30 pagi hingga 10 pagi di Dewan Bedah Hospital Kemaman.
Tertuduh yang didakwa mengikut Seksyen 292 Kanun Keseksaan berdepan hukuman penjara sehingga tiga tahun serta denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nur Azhani Azman dan mahkamah menetapkan 21 Mac ini sebagai tarikh sebutan semula kes untuk serahan dokumen. – THE VOKAL