
Doakan Faisal Halim – Keadaan Membimbangkan Selepas Pembedahan
Keadaan kesihatan tonggak Harimau Malaya Faisal Halim membimbangkan apabila dikatakan berada dalam keadaan kritikal selepas menjalani pembedahan di sebuah hospital swasta, di sini, semalam.
Situasi terbabit disahkan Timbalan Presiden Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) Datuk Seri Shahril Mokhtar yang memaklumkan keadaan Faisal boleh dikatakan semakin membimbangkan kesan daripada kelecuran tahap empat.
Memetik laporan Harian Metro, beliau yang juga Jawatankuasa Eksekutif Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) turut memaklumkan bahawa tangan kiri pemain sayap itu sukar untuk bergerak sekali gus menimbulkan persoalan masa depannya kelak.
“Seperti dimaklumkan bahawa sememangnya Faisal berada dalam keadaan kritikal dan kini hanya saya dan isterinya saja dibenarkan untuk melawat.
“Jika diikutkan apabila dia dihantar ke hospital pertama untuk menerima rawatan awal doktor melihatnya mungkin melecur tahap dua.
“Namun, selepas dipindahkan hospital dan rawatan susulan mendapati lecuran berada pada tahap empat.
“Sedih saya melihat keadaannya ketika ini, kerana dia ada beritahu bahawa terasa sakit seperti terbakar di dalam kulit dan mengerang kesakitan,” katanya, ketika dihubungi Arena Metro.
Terdahulu, media melaporkan bahawa insiden membabitkan pemain kebangsaan itu yang cedera dipercayai disimbah asid dalam kejadian di sebuah pusat beli-belah di ibu kota.
Insiden serangan ini yang kedua menimpa pemain negara selepas Muhammad Akhyar Abdul Rashid apabila pemain pinjaman Terengganu FC itu cedera pada kepala dan kaki selepas diserang dua penyamun di kawasan kediamannya di Kuala Terengganu, Khamis lepas. – THE VOKAL