Destiny Of Music 2.0 – Gabungkan Empat Band Popular
Susulan sambutan luar biasa terhadap Konsert Destiny of Music yang buat julung kali diadakan pada bulan Jun lalu, syarikat B De Paris Project selaku penganjur utama dan Sinemalis Studio dan Westzone Entertainment selaku penganjur bersama membawakan edisi kedua Konsert Destiny of Music 2.0 yang dijadualkan berlangsung pada 15 November 2024 di Pusat Konvensyen Setia City, Shah Alam.
Kembali lebih bertenaga dengan persembahan pentas yang pastinya memukau, Konsert Destiny of Music 2.0 bakal menampilkan empat band popular tanah air iaitu Akim & The Majistret, Kugiran Masdo, Empty Page dan Insomniacks yang akan menghiburkan para penonton dengan lagu-lagu hits mereka selama dua jam tanpa henti.
Mengulas lanjut mengenai konsert itu, Ketua Pegawai Eksekutif, B De Paris Project Burhan Ahmad berkata penganjuran ini juga mampu memartabatkan serta memberi inspirasi kepada penggiat seni tempatan menerusi platform yang ada sekaligus membuka lebih banyak peluang kerjasama pada masa hadapan.
“Kami juga amat berbesar hati di atas kesudian barisan artis seperti Akim & The Majistret, Kugiran Masdo, Imsoniacks dan Empty Page yang sudi bekerjasama dengan kami untuk menjayakan konsert ini.
“Kami berharap konsert ini bakal berlangsung dalam suasana gemilang seperti yang dirancang sekaligus membekaskan impak yang mendalam.
“Jadi, jangan tunggu lagi kerana kami menawarkan harga tiket yang berpatutan, sesuai untuk semua golongan peminat termasuk pelajar, pihak korporat dan sebagainya.
“Dapatkan tiket segera dan datang beramai-ramai bersama sahabat handai dan seisi keluarga kerana para peminat bakal dijanjikan dengan pengalaman menonton maksimum,” katanya.
Tiket untuk menyaksikan Konsert Destiny of Music 2.0 akan mula dijual dengan harga yang berpatutan serendah RM55 (Silver), RM85 (Gold), RM135 (Diamond), RM155 (Platinum) dan RM285 (VIP) di platform rasmi ticket2u https://www.ticket2u.com.my/ – THE VOKAL