“Dari Kecil Lagi Saya Dah Terbiasa, Tak Timbul Isu!” – Ali Arami Anggap Babak Pegang Anjing Satu Nasihat
KUALA LUMPUR – Pelakon Ali Arami, 33, menyifatkan tindakannya memegang anjing dalam satu babak filem Adoiii Jiwaku tidak perlu dijadikan isu atau kontroversi.
Ali ketika ditemui berkata, ia bukan satu masalah yang perlu dijadikan isu kerana kita ada tokoh agama dan dalil yang boleh dirujuk.
“Selepas selesai babak itu, kami terus samak. Seperti yang kita tahu, anjing bukan haram tetapi adalah najis.
“Kita ada mufti dan dalil. Jadi, itu bukan satu masalah sebenarnya. Lagipun, dari kecil lagi saya sudah terbiasa sebab dulu sekolah aliran Cina.
“Memang lepas penggambaran babak itu pun (pegang anjing), pihak produksi dah sediakan tanah, air (untuk samak) dan sebagainya,” katanya.
Pemuda kelahiran Melaka yang juga pelakon lagak ngeri dan bekas atlet wushu itu menambah, antara sebab dia dipilih berlakon dalam filem itu kerana fasih berbahasa Mandarin. – THE VOKAL