Dakwa Diri Diaibkan, Baby Shima Failkan Saman Malu Terhadap PU Syed Dan Ketua Pemuda Pas Kuantan
KUALA LUMPUR – Penyanyi Baby Shima bertindak memulakan langkah awal untuk menyaman Ketua Pemuda Pas Kuantan, Abd Rahman Mat Noor dan pendakwah bebas yang juga bekas peserta realiti televisyen iaitu Syed Mohd Bakri Syed Ishak atau nama komersialnya PU Syed.
Peguam yang mewakili Baby Shima, Muhammad Noor Azfar Noor Azmi berkata, pihaknya telah memfailkan writ saman dan pernyataan tuntutan terhadap kedua-dua individu terbabit masing-masing di Mahkamah Tinggi Ipoh serta Mahkamah Tinggi Kota Bharu.
Katanya, ia difailkan di atas kausa tindakan saman fitnah (defamation) dan kepalsuan berniat jahat (malicious falsehood).
“Setakat tarikh kenyataan ini, proses penyerahan kertas-kertas kausa kepada individu-individu yang dinamakan di atas sedang dilaksanakan bagi maksud memenuhi keperluan undang-undang,” katanya dalam satu kenyataan.
Tambah Noor Azfar, Baby Shima atau nama sebenarnya Nor Ashima Ramli tidak berhasrat untuk memberi komen lebih lanjut buat masa ini sebagai menghormati proses mahkamah serta pihak yang dinamakan belum menerima kertas-kertas kausa yang difailkan.
“Pihak kami juga telah menerima arahan untuk mengambil tindakan dalam masa terdekat ini terhadap beberapa individu dan syarikat lain yang telah terlibat dalam menyalahgunakan nama anak guam kami bagi tujuan komersial.
Terdahulu, Baby Shima dituduh ‘menjual agama’ selepas namanya diumumkan sebagai artis undangan program Hari Bandaraya Mesra Komuniti di Kuantan, Pahang yang kebetulan berlangsung pada hari sambutan Israk dan Mikraj.
Abd Rahman mendakwa penyanyi dan pelakon terbabit ‘menjual agama’ kerana hanya mengenakan tudung mengikut majlis tertentu.
PU Syed pula didakwa memfitnah Baby Shima dengan menuduh artis berkenaan tidak mengerti soal halal dan haram berhubung penganjuran sebuah konsert, serta boleh terjerumus menjadi golongan Ruwaibidhah. – THE VOKAL
Sumber: SINAR HARIAN