
Bukan Tangkap Basah – Ruhainies Ingat Semua Pihak Hati-Hati Buat Kenyataan
Pelakon Ruhainies menegur semua pihak supaya berhati-hati dalam membuat kenyataan termasuk menuduh dirinya ditangkap basah bersama Aliff Aziz seperti yang tular baru-baru ini.
Katanya, penggunaan istilah tangkap basah tersebut perlu diperbetulkan bagi mengelakkan salah faham mahupun kekeliruan dalam kalangan masyarakat.

“Salam, ingin saya perbetulkan di sini, hati-hati dengan penulisan tajuk atau isi di dalam konten supaya tidak menimbulkan spekulasi lebih buruk, lebih mengelirukan dan mengeruhkan lagi keadaan.
“Itu sama sekali ‘bukan tangkap basah’,” kongsinya bersama paparan artikel berkaitan dalam hantaran dibuat menerusi Instagram Story.
Pelakon drama Terjerat itu yang turut menyatakan belum memberikan kenyataan rasmi juga meminta media tidak menulis artikel yang memberi impak negatif.

“Sehingga kini saya masih belum berikan apa-apa kenyataan. Segala yang dikeluarkan di media bukanlah ‘statement’ daripada saya dan tidak tepat.
“Saya mohon supaya media tidak menulis apa-apa yang boleh mengundang provokasi atau pun fitnah sehingga saya mengeluarkan kenyataan rasmi daripada saya sendiri.
“Saya minta kerjasama semua pihak supaya lebih bertanggungjawab,” ujarnya lagi dalam perkongsian sama.

Awal pagi Sabtu lalu kecoh dengan berita tangkapan khalwat membabitkan Aliff yang juga pelakon Bella Astillah dengan Ruhainies.
Aliff dan Ruhainies kemudiannya dibawa ke pejabat Jawi pada awal pagi, seterusnya dibebaskan dengan jaminan sementara menanti pendakwaan pada satu tarikh lain dalam masa terdekat.
Ruhainies dan Aliff juga dilaporkan meninggalkan pekarangan pejabat Jawi kira-kira pukul 2 petang, Sabtu lalu.
Kedua-duanya juga menerusi Instagram Story di akaun masing-masing memuat naik respon berjanji akan memberikan kenyataan lanjut berhubung kontroversi berkenaan. – THE VOKAL