Bukan Setakat Tewas – Greenwood Dibuang Padang
Kerana mulut badan binasa. Itu nasib yang ditanggung Bintang Getafe, Mason Greenwood yang dibuang padang dalam perlawanan La Liga Sepanyol awal pagi tadi.
Dia dan dua yang lain didakwa memaki pengadil perlawanan ketika tewas 0-2 di tangan Rayo Vallecano.
Pengadil dalam kenyataan laporan selepas perlawanan mendakwa Greenwood mengejinya dengan menggunakan bahasa Inggeris pada minit ke-50 namun pemain itu dan kelab menafikannya.
Pengadil Jorge Figueroa Vázquez turut berkata dalam laporan, selepas dibuang padang Greenwood membuat isyarat jari ke kepalanya dan menunjukkan rasa tidak puas hati dengan keputusan Vazquez.
Greenwood beraksi dengan Getafe secara pinjaman dari Manchester United dan turut dibuang padang ialah pemain pertahanan Damián Suárez yang didakwa memaki penolong pengadil selepas dia dikeluarkan pada minit ke-70.
Tuan rumah beraksi kurang satu pemain sejak minit ke-40 selepas penyerang Juanmi Latasa dibuang padang selepas mendapat kad kuning kedua. – THE VOKAL