
Bina Hospital Ihsan Di Gaza – KKM Akan Bawa Cadangan
Malaysia terus mendukung solidariti buat saudara Islam di Gaza yang masih berjuang berdepan peperangan menerusi pelbagai bantuan yang dihulurkan dari kerajaan juga pihak lain.
Terbaru, Kementerian Kesihatan (KKM) akan membawa cadangan pembinaan sebuah hospital ihsan dalam usaha membantu membangunkan semula Gaza selepas pascaperang.
Menterinya, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, beliau sendiri akan memajukan cadangan itu kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Insya-Allah, kita akan bersama-sama majukan dan bantu pembangunan semula Gaza selepas pascaperang ini dan berharap semua pihak bersama memastikan kejayaan pembangunan semula Gaza.
“KKM bersedia untuk menyiapkan cadangan itu kerana pastinya ia memerlukan dana, saya akan bentangkan perkembangan ini dalam mesyuarat Kabinet akan datang, paling tidak nota jemaah menteri.

“Antara lainnya saya akan menyebutkan agenda Mapim (Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia) membangunkan semula Gaza. Saya perlu terangkan secara menyeluruh dan salah satu agendanya adalah pembinaan hospital ihsan yang dicadangkan.
“Tidak dapat ditentukan lagi (bentang nota) tetapi dalam waktu yang agak munasabah. Sebelum ke majlis ini, saya sudah maklum kepada ketua pengarah, akan bincang perkara ini,” katanya.
Memetik laporan Harian Metro, beliau berkata, pihaknya sudah mempunyai senarai pegawai dan kakitangan perubatan yang bakal ditempatkan di sana kelak.
“Jumlah yang tepat belum ditetapkan tetapi memang ada kesediaan kami untuk mendaftarkan doktor doktor kami… mereka sentiasa bersedia untuk dipanggil.
“Senarai sudah ada dalam pangkalan data kami. Keperluan lain, dari sudut kesihatan, kepakaran surgeri lebih kepada pembedahan plastik dan dan yang lain juga akan diperlukan,” katanya. – THE VOKAL